top of page
Search

Pemerhati Hitam Putih Kehidupan Maresmart94


MRSM Taiping 1993-1994 adalah merupakan zaman permulaan yang pasti membentuk kemanusian & kendirian ambo selepas sedikit cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pada tahun 1992 yang penuh suka & duka. Permohonan untuk melanjutkan ke sekolah berasrama penuh di sekitar kawasan Kota Bharu menjadi taruhan ambo yang paling utama pada masa itu setelah menghabiskan tiga tahun belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ahmad Maher. Tapi hampa, semua kotak pilihan tidak menjadi dan sesatunya tawaran belajar yang diterima adalah ke MRSM Taiping, satu peluang yang hampir membuatkan aku ingin sahaja ke tingkatan 4 di sekolah lama.


Di situ, SMKDAM memberi ambo suatu permulaan pengalaman melangkah ke alam remaja. Tetapi di sini, MRSM Taiping adalah satu titik perubahan besar berlaku dalam kehidupan dewasa ambo. Berjauhan dengan ibu bapa, adik beradik dan sanak saudara adalah rutin yang terpaksa dilalui. Makan di Dewan Selera 6 kali sehari dan satu menu tambahan terkenal di dalam dorm, maggi rendam berserta kombinasi roti sandwich dan sausage dimasak menggunakan rendaman air panas di dalam baldi dan dicicah sos dan mayonnaise. Aku mula berdikari mencari peluang menjana pendapatan.


Dedications cokelat jenis cadbury dan Burger stadium setiap hujung minggu dan Tuju Lagu sentiasa berlaku apabila Deejay tak bertauliah menguasai Bilik Pengumuman dan hanya akan berhenti sekiranya datang warden menghalau. Koperasi MRSM menjadi tempat pertemuan, berkumpul dan berbincang perihal satu sama lain. Beratur dan berebut di pondok telefon adalah lumrah pada mulanya. Berkenalan dengan penghuni penghuni asal Hutan khatulistiwa di kaki bukit larut memberi kenangan untuk diingati. Sambutan hari jadi sesama kawan kawan didalam dorm dan kadang kadang ada menjadi mastermind secara gurauan kasar dengan memberi arahan “birthday boy” perlu diikat dengan kain selimut dan dicampakkan ke pintu asrama pelajar puteri. Berlari keliling asrama tatkala dikejar warden yang sering lupa peranan warden beliau pada setiap malam minggu. Jeritan “lights off” dan kehadiran makhluk dunia ketiga di tingkap atas tatkala tengah khusuk mentelaah. Nyanyian On Bended Knee asal oleh rakan suara sumbang di tengah tengah malam dan pengenalan kepada dunia artis penyanyi lagu “ Aku Cinta Pada Mu” yang tersohor sampai sekarang. Juga tak akan dilupakan adalah pengenalan koleksi album album Metalica - Justice For All, Enter sandman, One & Black. Aktiviti Kerohanian juga takkan dilupakan seperti Tadarus Al Quran, pertandingan Nasyid Sepohon Kayu Daunnya rimbun dan Program Nadwah Islam akan kekal menjadi pedoman.


Dunia ambo berubah 360 darjah bermulanya ambo di MRSM Taiping. Di sini, sekutu asal rakan rakan yang sama sama datang daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ahmad Maher, kami berpecah mencari sahabat sahabat baru dan melebarkan sayap mencari pengaruh rakan masing masing. Disini rasanya tak perlu kongsi kisah akademik cemerlang di MRSM Taiping yang menggunakan Jadual Waktu Anjal, Sistem Prep petang dan malam di kelas masing masing yang sudah sebati dan sinonim dengan semua. Sistem Homeroom kekeluargaan menggunakan nama nama permata menjadi taruhan sehingga ke medan sukan tahunan MRSM. Yang paling penting adalah Sumbangan Guru Guru terhebat MRSM Taiping yang tidak jemu mendidik kami secara berterusan. Kami masih berhubungan walaupun sesudah lebih 25 tahun meninggalkan alam persekolahan di MRSM Taiping. Takkan lupa juga beberapa Pencerobohan kawasan Raja Rimba yang mencabar dan dicabar sentiasa berlaku sama ada secara sedar atau tidak. Dewan Kuliah menjadi Panggung Wayang Gambar secara haram dan longkang longkang besar menjadi tempat hotspot pasangan pasangan merpati sejoli sambil memerhatikan kelibat kawan kawan yang nakal menyeberang ke pekan Larut Matang Selama dengan menempuh kawasan hutan dan taman tasik Taiping.


Itu semua sejarah ambo sebagai pemerhati di MRSM Taiping, di kaki Bukit Larut. Itu semua menjadi coretan dan kenangan ambo di MRSM Taiping sepanjang ambo disana. Tak pernah berpaling lagi, terus menongkah arus dan saki baki kisah kehidupan di MRSM Taiping seterusnya ada dicoretkan oleh super junior di dalam buku beliau, Budak Meja Belakang yang pasti mengimbau lebih momento halus dan dekat dengan diri ambo sepanjang berada di MRSM Taiping.


Ambo

Hafizee Hamid

nombor pelajar 93101

19 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page